Thursday, May 12, 2011

ANDAI BESOK HARI TERAKHIRKU……


Jika hari ini kita masih mampu bernyawa mungkin besok belum tentu untuk kita. Satu perkara yang sering dilupai ialah ungkapan “ maaf” yang sukar dilafazkan dek angkara perasaan malu, ego dan amarah. Kehidupan seharian manusia tidak pernah terlepas dari melakukan kesalahan biarpun mungkin kesalahan itu hanya lawak jenaka yang sebenarnya telah mengguris perasaan insan lain tanpa disedari.

Tugas yang diamanahkan kepada kita sebagai mahasiswa juga mungkin telah kita calari dengan tidak menghadirkan diri ke kuliyyah dengan sengaja, mengutuk pensyarah yang dirasakan benci atau melanggar amanah yang lain merupakan tindakkan yang membunuh harapan ibu bapa secara halus. Secara tidak langsung juga kita telah mengundang kemurkaan Allah kerana tindakkan seumpama tadi memerlukan “kemaafan” segera dari insan yang telah kita lukai.

Oleh itu, janganlah disimpan lafaz yang bermakna itu gara-gara malu dengan luahan yang ingin diungkapkan. Tiada siapa yang tahu ungkapan “ tolong maafkan saya” boleh memberikan seribu makna kepada si penerima.

Janganlah malu untuk mengubah dunia dengan ungkapan bermakna tersebut. Percayalah ungkapan berharga itu sememangnya adalah pengubat duka dan lara buat insan yang terasa dengan tindakkan yang mungkin dilakukan dengan sengaja atau tidak.

Ia juga mampu menyelamatkan kita dari azab api neraka di akhirat kelak kerana sekurang-kurangnya sebelum nyawa diseru di penghujungnya kita masih sempat untuk memohon kemaafan buat mereka. Andai besok adalah yang terakhir buatku “ tolong maafkan daku” andai selama ini aku banyak menyusahkan kalian semua" tolong maafkan aku". Andai besok hari terakhirku " sedekahlah seiklas doa buatku di sana.

No comments:

Post a Comment