Friday, May 27, 2011

cerita tentang aurat wanita...

Bila wanita menjaga auratnya dari
pandangan lelaki bukan muhrim, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah
maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal.

Ini
kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna
yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian,
ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci.

Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan
mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan
masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya
mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat,
nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita,
alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya,
sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini
wanita mula memakai tudung.

Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari
peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan
pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih
tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan
sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain
belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.

Pelbagai warna dan pelbagai
fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung
yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach)
yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya.

Dan berbagai-bagai
gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung.

Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya
menambahkan fitnah ke atas wanita. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang
wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup
maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak
menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan
menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya.

Sekaligus pakaian boleh
melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak
bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka
terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin
membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik
dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated,
bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan.

Kita
tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan
manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya
satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga
dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau
tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan
keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan
pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki
yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh
orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan
sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini.
Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat
melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung
atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung.

Lebih baik tidak bertudung.
Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk
masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam
Islam.

Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan
Islam. Mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang
lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya
pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui
pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir
dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk
disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung.
Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari
masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati).

Buang perangai suka mengumpat,
berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati. Walau apapun,
kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim.
Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah.
Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun
tetap berbuat kemungkaran.

Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak
menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula
menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat
tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan.
Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki.

Serahkan pada Allah
tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada
ketentuan qada' dan qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita
tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam
waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat
kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka
mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang
wanita.

Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam.

Barulah nampak Islam itu
indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi
wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini,
orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really
beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya.

Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang
sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

No comments:

Post a Comment